Friday, 5 December 2014

TERIMA KASIH DOKTOR ASMAYATI

Tutup gua merpati terharu,
 Gegar rapat batu di naik; 
Hidup di dunia mesti berguru, 
Agar dapat ilmu yang baik. 

Garu banyak perkara garu, 
Nanti terluka terasa pedih; 
Guru banyak perkara guru,
 Berhati-hati ketika memilih.

 Halau piru pulang ke sangkar,
 Mati singa bersengkang sendi; 
Kalau guru kepalang mengajar, 
Seperti bunga kembang tak jadi. 

Hendakku balut daunnya mengkudu,
 Terkena jari sedu teresak; 
Tidak ku tuntut ilmunya guru, 
Kalau diri setengah masak. 

Ibu melalut lagu gurindam,
Kenangan hiba rawan terharu; 
Ilmu dituntut baru semalam, 
Jangan dicuba melawan guru. 

Kalau bertemu janganlah lama, 
Rasa terharu bertemu lagi; 
Kalau ilmu kudapat sama,
 Usaha guru kusanjung tinggi. 

Asah beliung melepuh tangan, 
Ubat disapu biru di tapak; 
Sudah ku harung tujuh lautan, 
Baru bertemu guru yang bijak.

Sudah ku lipat baju berpetak,
 Eloklah sapu minyak di kain; 
Kalau dah dapat guru yang bijak, 
Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin. 

Cuaca redup nampak kelabu,
 Rembang suasana tiada terang;
 Jika hidup tidak berilmu, 
Memang hina dipandang orang.

 Menjala sepat di tali arus, 
Bertemu duri tali terikat; 
Bila mendapat guru yang bagus,
 Ilmu diikuti menjadi berkat.

 Paku berkarat terkena mata,
 Berhari saya merasa kelam; 
Guru ibarat tiang pelita,
Memberi cahaya setiap malam. 

Pekan Rabu belumkan sampai,
 Nangka cempedak dibawanya bekal; 
Pesan guru jangan diabai, 
Jika hendak ilmunya kekal. 

Rusa diburu ada sebelas,
Tutup jerat menghadang titi;
 Jasa guru tak minta dibalas, 
Cukup setakat mengenang bakti.

 Delima putih ada di bucu, 
Buah nangka jatuh merata;
Terima kasih kepada guru, 
Tiada mereka siapalah kita.

 Buru tupai terkena tempua,
Kenari terjerat di tepi pagar; 
Guru bagai ibubapa kedua, 
Memberi nasihat mendidik pelajar.

 Gelas biru sudahlah pecah,
Adik merasa jejari ngilu; 
Tugas guru bukanlah mudah,
Mendidik bangsa memberi ilmu.

Lembu Pak Lah dapat percuma, 
Asyik gembala menunggu masa;
 Ibu adalah di tempat pertama, 
Mendidik membela sehingga dewasa.

 Kendi biru terbelah sudah, 
Takkan cuba diletak alu;
Menjadi guru bukanlah mudah,
 Impian hamba sejak dahulu. 

Tuesday, 25 November 2014

Apa Kepentingan KIMIA?????

           Daripada segi sains, kimia berkait rapat dengan hampir semua cabang sains yang lain, dan disebabkan inilah ia mendapat gelaran "sains pertengahan" atau "central science". Namun, bidang sains lain yang paling rapat dengan kimia ialah fizik. Tidak seperti kimia, fizik lebih menyentuh berkenaan tenaga dan jirim sama ada dalam skala besar ataupun dalam skala kecil. Ilmu kimia telah digunakan sejak manusia pertama kali menemui cara menghasilkan api. Alkimia, satu bidang separa kimia yang dipelopori oleh orang Yunani, Rom, Islam dan Eropah, melibatkan pencarian "Philosopher's Stone" yang dikatakan boleh menukarkan logam biasa menjadi emas dan perak, dan penghasilan ubat-ubat yang dikatakan boleh menghidupkan seseorang itu selamanya. Kini, kimia moden mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan kita, daripada memasak dan membasuh pakaian, ke ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa dan automobil, sehinggalah ke penghasilan keluli dan konkrit untuk pembinaan bangunan, dan juga penyejukan gas-gas untuk menghasilkan bahan bakar roket. Kimia memainkan peranan yang amat besar kepada kehidupan kita. Andainya ilmu kimia tidak pernah diceburi, anda mungkin tidak akan membaca ayat ini pada hari ini.

Apa Itu KIMIA???


Chemicals in flasks.jpg
Lihat di sekeliling anda. Apa yang boleh anda lihat? Jika anda berada di dalam rumah, pasti anda dapat melihat skrin komputer, papan kekunci, dinding, almari, meja, buku-buku, alat permainan, dan sebagainya. Anda mungkin mempunyai segelas air bersama anda, ataupun semangkuk snek. Namun, apa yang kita jarang fikirkan adalah apa yang membentuk semua benda di sekeliling kita. Jika rumah diperbuat daripada batu-bata, batu-bata diperbuat daripada tanah, dan tanah diperbuat daripada pasir, pasir diperbuat daripada apa? Apa sebenarnya yang ada dalam udara? Lihat lampu yang terdekat dengan anda; bagaimana ia boleh terus menyala? sedangkan api yang biasa akan terus terpadam apabila bahan bakarnya habis? Mengapa air boleh mendidih dan membeku? Malah, bagaimana anggota-anggota badan kita sendiri boleh terbentuk?
Kimia mencari jawapan kepada soalan-soalan ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kimia adalah "ilmu sains asas yang berkaitan dengan struktur, kelakuan, komposisi dan sifat tindak balas yang berlaku antara atom, ion, unsur, atau sebatian serta hukum-hukum yang menerangkan fenomena kimia". Dengan erti kata yang mudah, ia mengkaji tentang sifat-sifat dan tindak balas jirim dan menjelaskan kejadian-kejadian semula jadi daripada sudut pandangan kimia. Istilah-istilah daripada takrifan kamus di atas mungkin mengelirukan bagi yang baru dengan kimia, tetapi anda akan fahaminya nanti.